Sunday, January 20, 2008

Peperiksaan Berakhir Misi Bermula...


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t,

Sudah berbulan rasanya ruangan blog saya ini tidak berusik. Banyak perkara yang lebih penting untuk saya lakukan. Kedatangan mahasiswa baru pada tahun ini di bumi Tanta amat mengejutkan kerana terlalu ramai yang ditauzikkan ke sini. Saya tidak tahu mengapa ramai yang menjadikan Tanta sebagai tempat pilihan. Tapi apa yang saya nampak sebagai pemburu ilmu di sini dapat merasakan keistimewaan dan keunikan yang terdapat di negeri ini.Apa yang boleh saya katakan Tanta memang best. Sebenarnya di mana kita belajar bukanlah itu yang menjadi ukuran kerana setiap tempat yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T itu ada barakah dan hikmahnya. Yakinilah kerana itu semua adalah percaturan dan perancangan Allah S.W.T yang Maha Merancang.Allahuakbar...

Alhamdulillah, selesai sudah peperikasaan fasal satu bagi tahun ini. Bermula dari 5 Januari ( Tafsir) hinggalah 16 Januari(Bahasa Arab). Habis periksa bukanlah bereti merdeka buat seketika waktu sehingga naik ke fasal dua. Tapi dalam tempoh perantaraan itu perlulah di susuli dengan ilmu luaran dan dihiasi dengan amalan secara praktikal terhadap apa yang telah kita pelajari.Barulah kita dapat menikmati kepuasan ilmu. Benarlah bahawa kehidupan di dunia ini amat sibuk bagi mereka yang mengerti. Usaha ini sebenarnya bukan sahaja menguntungkan,tetapi beroleh keberkatan dan pandangan daripada Allah S.W.T. Kita lihat saja hadith Rasulullah S.A.W yang berbunyi :

من تعلم بابا من العلم يعمل به أو لم يعمل به كان أفضل من أن يصلى من ألف ركعة تطوعا
(Barangsiapa yang mempelajari akan satu bab daripada ilmu sama ada beramal dengannya ataupun tidak adalah lebih baik daripada bersembahyang sunat sebanyak seribu rakaat)
Ini menunjukkan bahawa bahawa ilmu itu adalah satu perkara yang amat besar dan di sisi Islam. Tetapi dalam konteks kita sebagai penuntut ilmu,mengamalkan terhadap apa yang dipelajari adalah satu kemestian agar apa yang kita pelajari itu tidak menjadi seperti debu yang berterbangan ( هباء منثورا ).

Kata seorang ahli hikmah yang bermaksud : Ilmu jika tidak mengamalkannya umpama pokok yang tidak berbuah. Sia-sialah kesimpulannya. Ilmu adalah sungguh mahal dan tinggi nilainya jika tahu untuk mencambah dan menunaskannya. Lampu sebagai contoh, ia amat berguna kerana boleh mengeluarkan cahaya. Tetapi jika tidak boleh mengeluarkan cahaya akan menjadikan lampu itu hilang nilainya kerana tidak boleh dimanfaatkan. Apa gunanya ada lampu jika tidak boleh mengeluarkan cahaya. Lebih baik dibuang sahaja daripada menyemak. Begitu juga dengan ilmu,apa gunanya jika kita belajar sejauh kutub utara, ilmu seluas lautan, kefahaman menggunung tinggi. Tetapi tidak mengundang manfaat untuk diri sendiri apatah lagi orang lain. Cara untuk kita mensyukuri nikmat ilmu yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita ialah mengamalkan atas apa yang kita pelajari. Bukankah amalan itu akan menjadi bekalan kita untuk bertemu dengan Allah S.W.T kelak selain disertai dengan sifat takut dan mengharap kepadaNya.