Saturday, February 23, 2008

Soalnya Hati...



HATI merupakan anugerah Allah S.WT yang tiada peri. Insan biasa seperti kita tidak akan mampu untuk menilik kehendak hati. Ia merupakan tempat pandangan Allah S.W.T. Ia menjadi tapak semaian iman,mencorak kedamaian, mencerna pemikiran. Hati yang bersih lagi murni adalah medan acuan yang berpotensi menjana syaksiah yang terpuji. Meskipun begitu, kita tdak boleh menafikan bahawa hati ini sentiasa berbolak-balik. Buktinya hari ini kita rakus melakukan sesuatu mengikut kehendak hati tanpa peduli apa risikonya. Persepsi kita yang merasa puas bila mengikut kehendak hati adalah satu tindakan yang tidak wajar. Perbuatan ini sebenarnya mendera hati kita sendiri. Ia mampu menjadikan hati kita kusut dan robek. Dalam hal ini kita tidak boleh menuding jari ke arah orang lain sahabat sekalian. Pokoknya kita sendiri. Oleh sebab itu kita dianjurkan untuk berdoa agar hati kita ditetapkan atas landasan agama dan ketaatan kepada Allah S.W.T:

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك

Ya Allah ya tuhan kami yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami atas agamamu dan ketaatan kepadamu.

Insya Allah, jika kita melazimi diri kita dengan doa ini hati kita akan dipelihara dari noda dan nista. Bukan sahaja terpelihara bahkan segala tingkahlaku kita juga akan terpimpin sehingga kita matang dalam membezakan sesuatu perkara sama ada buruk ataupun baik, kaca ataupun permata. Tetapi, prasyarat utamanya adalah keazaman yang kuat untuk meningkatkan keutuhan rohani kita yang berpasakkan hati. Ia merupakan modal besar manusia untuk mengaut keuntungan pada hari abadi nanti kerana setiap amalan itu dikira melalui keikhlasan. Keikhlasan itu hanya terbit dari jiwa yang murni dan hati yang suci.
ُ

Friday, February 8, 2008

Tangisan Sesalan

LAHIRNYA seorang anak Adam di atas muka bumi ini pasti ditemani dengan raungan dan teriakan. Ini lumrah dan bukannya sesuatu yang pelik. Suara tiada makna berkumandang saring menyapa telinga ibu.Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.
Begitu juga saya ketikaduapuluh satu tahu yang lalu, situasi sama yang telah saya alami namun sukar untuk saya hadami dan lumati maksudnya. Tapi yang pasti, menurut apa yang saya tahu nukilan kalam dari seorang sahabat saya mengatakan tangisan itu adalah kerana manusia mencari di mana janjinya yang terpatri sebelum ditiupkan roh. Sejauh mana kesahihannya saya tidak pasti.(Sekadar pengetahuan)Emak saya kata sewaktu kecil saya seorang yang gembeng (kuat menangis), tak tahulah mengapa,mungkin terikut naluri ibu yang mudah terasa. Sinonimlah dengan nama ibu (Halimah) yang diertikan dalam bahasa Arab iaitu penyantun. Nama sayapun tidak lari dari asal perkataan yang sama (Dzulhilmi).

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.

Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.

Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid.
Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.

Dari mata yang mengintai setiap kemewahan madiah yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kebahagian abadi.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."
(Al Hasyr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, tuntas lazim kehidupan ini dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.
Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Nabi Muhammad bersabda lagi :

"Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga kononnya kelak akan bertakhta.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair :

"Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan.

Lupakah kita Nabi pernah bersabda :

"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah SWT telah berfirman :

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
(Al Baqarah : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda:

"Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala."

Menangislah wahai diri, agar senyuman banyak terlukis di kemudian hari. Kita belum tahu, nasib kita di puak kanan atau di puak kiri. Di sana, lembaran sejarah dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah S.A.W yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.
Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :

"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaiman apabila ditanya :

"Kenapa engkau menangis?"

"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang," jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari
memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata :

"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Masud r.a. berkata :

"Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah".

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur :

"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Ya Allah jadikanlah aku hambaMu yang banyak menangis keranaMu Ya Allah.

Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!!!.......