Tuesday, June 17, 2008

Fenomena kejadian siang dan malam

Bumi bergerak dalam dua keadaan:

1) Berputar pada paksinya.
- Menyaksikan bahawa bumi berputar pada paksinya dari arah timur ke barat. Bagi menghasilkan satu putaran yang sempurna, ia mengambil masa selama sehari.

2) Beredar dalam garisan orbitnya.
- Menyaksikan bumi beredar mengelilingi matahari dari arah timur ke barat pada garisan orbitnya.Bagi menghasilkan satu peredaran putaran yang sempurna ianya mengambil masa selama setahun.

Terdapat banyak pandangan dan persepsi mengenai pergerakan bumi.Ketika penrunan Al-Quran,sebahagian manusia tidak mampu untuk memahami dua keadaan ini. Tetapi sebahagian yang lain mendakwa bahawa bumi berputar pada paksinya. Antaranya ialah Abu Raihan Muhammad bin Ahmad dan Abu Said Ahmad Assajzi.

Manusia tidak akan dapat merasa pergerakan dan peredaran bumi sepertimana dapat merasa dan melihat akan pergerakan bulan dan matahari.Manusia merasakan seolah-olah berkedudukan tetap di atas permukaan bumi begitu juga dengan semua makhluk yang lain.

Kelajuan putaran bumi bersifat tidak tetap. Ianya berubah mengikut perubahan garis lintang..
Kawasan kutub : 0 Darjah
Kawasan garis lintang : 50 Darjah (Mencecah 316 km/s).
Kawasan khatulistiwa : Mencecah 465 km/s

Bumi berputar pada paksinya dengan satu putaran yang sempurna pada setiap 23 jam 25 saat dan 4 detik. Perkiraan ini mengikut putaran yang berlaku pada tempoh melihat bintang pada kedudukannya dan melihatnya pada kali kedua pada kondisinya. Tempoh ini dinamakan sebagai Sidereal Day ( اليوم النجمي)

Akan tetapi (اليوم الشمسي ) Solar Day lebih panjang tempohnya berbanding dengan Sidereal Day sebanyak 3 minit 4 saat menjadikan tempoh putaran sempurna iaitu 24 jam.

Putaran lengkap bumi dari timur ke barat menyebabkan berlakunya fenomena kejadian siang dan malam yang mana sebelah permukaan bumi menjadi terang dan sebelah lagi menjadi gelap. Sekiranya bumi tidak berputar pada paksinya secara berterusan, nescaya sebelah permukaan bumi akan sentiasa terang dan sebelahnya lagi sentiasa gelap. Keadaan ini memustahilkan untuk manusia hidup di atas muka bumi ini.

Rujukan : KItab Minal I'jazul Alami Fil Quranil Karim karangan Dr Hassan Abul Ainain

Monday, June 16, 2008

Solat dahulu ataupun teruskan pengajian?


Soalan :Azan telah berkumandang ketika kelas pengajian sedang dijalankan. Adakah kelas tersebut perlu dihentikan serta-merta untuk menunaikan solat fardhu ataupun teruskan pengajian?

Jawapan : Waktu solat adalah muassa' ( boleh dilakukan pada awal waktu atau akhir waktu) .Meskipun begitu menunaikannya pada awal waktu adalah lebih afdhal. Tetapi, ketika dalam keadaan seseorang itu mempunyai sebarang urusan penting yang perlu diselesaikan pada waktu itu juga dan tidak menyebabkan dia terlepas waktu untuk melakukan solat jika meneruskan urusannya, maka solat tersebut boleh dilaksanakan pada akhir waktu sebelum masuk waktu solat yang lain.

Adapan jika urusan tersebut menyebabkan solat tidak dapat dilakukan dalam tempoh waktunya( seperti kelas pengajian yang diadakan selama 3 jam pada waktu magharib menyebabkan pelajar tidak sempat untuk melakukan solat maghrib hatta pada akhir waktu), maka wajib ke atasnya meninggalkan pengajian kelas tersebut untuk menunaikan solat. Wajib juga ke atasnya dirinya untukmemperingatkan gurunya sekiranya beragama Islam. Keadaan ini termasuk dalam bab amar makruf dan nahi munkar, akan tetapi mestilah dengan cara yang sangatberhikmah dan bersopan-santun.

Pihak guru juga perlulah menitikberatkan masalah ini. Menjadi kewajipan kita semua untuk menunaikan solat pada waktunya.Tidak menjadi masalah jika pengajian kelas tersebut ditangguhkan sementara waktu untuk memberi laluan kepada solat.Cara ini dapat mengundang keberkatan dan curahan rahmat daripada Allah S.W.T terhadap apa yang dipelajari dan diajari.

Bagi tempoh waktu solat yang panjang pula seperti Solat Isya', tidak menjadi alasan bagi pelajar-pelajar untuk meninggalkan pengajian kelas kerana hendak melakukan solat pada awal waktu. Solat pada awal waktu hukumnya adalah sunat, begitu juga dengan menuntu ilmu. Dalam keadaan ini, menuntut ilmu perlulah diutamakan daripada melakukan solat pada awal waktu. Ini berdasarkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya Miftahud Darussa'adah halaman 25 bahawa kebanyakan imam mengatakan bahawa sebaik-baik amalan selepas amalan fardhu adalah menuntut ilmu.

Imam Syafi'e pernah mengatakan bahawa tidak ada perkara yang lebih afdhal selepas perkara fardhu melainkan menuntut ilmu.

Sufian Atthauri juga mengatakan perkara yang sama, dan dihikayatkan oleh Abu Hanifah.

Imam Ahmad pula, beliau telah meriwayatkan daripadanya dengan tiga riwayat dan salah satu daripadanya adalah ilmu.Maka sekiranya ditanya kepadanya,''Apakah perkara yang paling engkau sukai?Dduk pada waktu malam menyalin kitab ataupun melakukan solat-solat sunat?''
Maka dia berkata,'' Mempelajari ilmu agama itu adalah perkara yang paling aku sukai.''

Ibnu Qasim pula telah berkata. ''Aku mendengar Imam Malik berkata bahawa sekiranya ada kaum yang sibuk melakukan ibadah dan mengabaikan ilmu, maka keluarlah dengan pedang-pedang mereka, tetapi jika mereka bersibuk-sibuk untuk menuntut ilmu maka tegahlah mereka untuk melakukan sedemikian rupa.''

Ibnu Qayyim juga menyebut bahawa Abu Naim dan selainnya telah menaqalkan daripada sebahagian para sahabat Rasulullah S.A.W bahawa Baginda S.A.W telah bersabda:

فضل العلم خير من نفل العمل وخير دينكم الورع

Ertinya :Kelebihan ilmu itu lebih baik daripada amalan sunat dan sebaik-baik dalam agama kamu adalah sifat wara'.'' Hadith ini marfu' daripada Aisyah R.A.

Ilmu itu bermanfaat bagi diri sendiri dan orang lain, manakala ibadah hanya bermanfaat untuk diri sendiri sahaja. Ilmu juga manfaatnya berkekalan walaupun telah meninggal dunia, berbeza dengan amalan ibadah.
Perkara ini makruf berdasarkan sabda Baginda S.A.W:

إذا مات ابن ادم انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
رواه مسلم


Ertinya : Apabila mati seseorang anak Adam itu maka teroutuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Rujukan : Kitab Fatawa Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam ( Syeikh Atiah Saqar 2:370)


Sunday, June 15, 2008

Kiamat sudah dekat...

Hasil kreatif akal fikiran manusia dalam mempelbagaikan ilmu pinjaman dari tuhan yang empunya menjadikan kita pada hari ini dapat menikmati kemajuan dari sudut yang pelbagai. Hari ini sahaja, kita dapat melihat bangunan-bangunan tinggi tersergam indah mencakar langit, kenderaan-kenderaan bermutu tinggi menyusur megah di jalan raya, satu persatu roket dilepaskan menerobos angkasa raya, tidak kurang juga dengan kecanggihan alat telekomunikasi yang mampu menghubungkan manusia di seantero dunia dan bermacam-macam lagi.

Skop yang lainnya, memperlihatkan impak yang negatif berlaku secara tidak langsung. Kegelojohan manusia dalam mencari nama dan gah menjadikan mereka bersikap lebih mementingkan diri sendiri. Dalam kata lain, 'buat-buat tak kenal' . Sibuk dengan urusan dunia, susah untuk bertegur sapa, bahkan saling menindas antara satu sama lain. Pangkat dikejar, nama dicari. Silap-silap kawan jadi lawan, lawan tetap lawan.
Selain daripada itu, kemajuan dari sudut teknologi juga menjadi penyumbang saham terbesar ke arah perlakuan maksiat pada era ini. Pernyataan saya ini bukanlah bermaksud bahawa saya menolak akan pembangunan dan teknologi. Semuanya hanyalah contoh yang saya bawakan kepada kalian yang mana ia boleh dikaitkan dengan tanda-tanda kecil kedatangan hari kiamat. Rasanya tidak perlu untuk saya huraikan secara panjang lebar berkenaan dengan hal ini kerana kalian lebih mengerti akan apa yang berlaku di sekeliling kalian.

Sebenarnya, pada kali ini saya lebih berat untuk mendatangkan kepada kalian semua tentang tanda-tanda kecil kedatangan hari kiamat. Berani untuk saya katakan kepada kalian bahawa tanda-tanda tersebut banyak yang telah berlaku.Bukanlah niat saya untuk menakut-nakutkan kalian tetapi sebagai satu peringatan buat kita semua.

Tanda-tanda kiamat dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian :
1) Tanda-tanda kiamat kecil.
2) Tanda-tanda kiamat besar.

99% daripada tanda-tanda kiamat kecil telahpun berlaku pada hari ini. Tanda-tanda ini bermula dengan lahirnya utusan agung daripada Allah S.W.T sebagai nabi yang terakhir.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa lebih dari seratus tanda-tanda kiamat kecil telahpun berlaku. Di sini saya akan menyebutkan beberapa daripadanya sahaja.

1) Nabi Muhammad S.A.W diutus sebagai nabi yang terakhir.
2) Kewafatan Baginda S.A.W
3) Keluar api di bumi Hijaz
4) Manusia berubah menjadi lebih teruk daripada zaman yang sebelumnya.
5) Pembukaan Baitul Maqdis.
6) Banyak penyakit dan ramai yang mati.
7) Fitnah masuk ke setiap rumah.
8) Banyak berlaku pertumpahan darah.
9) Melantik pemimpin dari kalangan yang bukan ahlinya.
10) Mengeluarkan perkataan-perkataan yang keji ketika bercakap.
11) Memutuskan silaturrahim.
12) Menuduh orang yang amanah sebagai penkhianat.
13) Mendakwa orang yang menghianat adalah amanah.
14) Bangsa-bangsa lain bermusuhan dengan Umat Islam.
15) Semua kata-kata pemimpin dianggap benar.
16) Melampau dalam berdoa.
17) Orang bukan Islam membantu Islam dalam membuat kerja-kerja amal seperti menderma kepada anak-anak yatim dan membina masjid.
18) Manusia dijangkiti penyakit-penyakit umat terdahulu.( Seperti penyakit hasad dengki)
19) Medustakan takdir. (Tidak menerima ketentuan Allah).
20) Melintasi masjid ataupun memasuki tandas masjid semata-mata dan bukannya untuk melakukan solat.
21) Memberi salam hanya kepada insan yang dikenali sahaja.
22) Mahar perkahwinan semakin mahal
23) Pemimpin yang bodoh. (Tidak berakhlak, tiada pegangan agama dan tidak pandai mentadbir)
24) Polis semakin ramai.
25) Memandang ringan soal nyawa.
26) Melantik kanak-kanak sebagai imam kerana kelunakan suaranya dan bukan kerana kefakihan agamanya.
27) Pen semakin banyak.(Penulis dan pengarang kitab bertambah ramai)
28) Suami dayus.
29) Anak derhaka kepada ibu.
30) Belajar bukan untuk agama tetapi semata-mata kerana habuan dunia.
31) Meminum arak.
32) Lelaki memakai sutera.
33) Banyak berlaku fitnah.( Contoh fitnah terbesar ialah perpecahan Umat Islam kepada 73 puak)
34) Merasakan hari semakin singkat berlalu.
35) Matinya para solihin.
36) Melampau dalam bersuci seperti membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali.
37) Amalan dalam Islam dianggap sesuatu perkara yang pelik.
38) Mewarnakan rambut dengan warna hitam.
39) Tentera Islam tidak bersatu.
40) Bangunan yang tinggi mencakar langit.
41) Kekhusyukan dalam solat diangkat.
42) Manusia jahil dalam agama.
43) Menghalalkan rasuah dengan menganggapnya sebagai satu diplomasi.
44) Menghalalkan arak dengan mempelbagaikan namanya seperti wishky, apyon,bancho dan sebagainya.
45) Menghalalkan alat muzik yang diharamkan.
46) Gejala zina semakin berleluasa.
47) Kerap berlaku gempa bumi.
48) Melakukan hubungan sejenis.
49) Tidak mengasihi dan menghormati antara satu sama lain.
50) Memakan riba'
51) Menjual agama dengan dunia.

52) Pasar semakin banyak.
53) Banyak anak zina dilahirkan.
54) Mengingkari sunnah nabi.
55) Banyak barang perhiasan.
56) Qari yang fasik.
57) Wanita suka berhias.
58) Pemimpin mencuri harta rakyat.
59) Kezaliman berlaku di mana-mana.
60) Kesan maksiat semakin banyak.

Untuk mendapatkan dalil-dalilnya dan tanda-tanda kiamat kecil yang lain, sila rujuk kitab Rehlatul Khulud karangan Dr Mustofa Murad cetakan tahun 2005.


Tuesday, June 10, 2008

Soalan : Apakah hukum solat sunat beramai-ramai tanpa berniat untuk menjadi ma'mum tetapi mengikut perbuatan imam?
Jawapan : Setiap yang berada di belakang imam hendaklah berniat untuk menjadi ma'mum, jika hanya sekadar untuk mengikut perbuatan imam supaya seragam selesai solat maka solat tersebut tidak sah. Berbeza pula dengan imam, dia tidak diwajibkan untuk berniat menjadi imam. Dalam situasi seperti ini, solatnya tetap sah tetapi tidak mendapat pahala berjemaah.

Sumber :
Rakaman pengajian Syeikh Nuruddin

Soalan : Apakah bahasa yang digunakan oleh malaikat Munkar dan Nakir ketika menyoal ahli kubur?

Jawapan : Setiap manusia yang telah meninggal dunia pastinya akan menjadi tetamu kepada malaikat Munkar dan Nakir di alam kubur yang menjadi 'transit' sebelum kita meneruskan perjalanan menuju ke alam baqa' . Walaupun mati semasa di dalam janin, lemas,terbakar ataupun dibaham oleh binatang buas tetap akan disoal oleh dua malaikat tersebut apabila tiba waktunya. Soalan tersebut akan diajukan samada orang itu beriman ataupun tidak.
Ulama' telah berfatwa antaranya Ibnu Hajar Al-Haitami berdasarkan hadis yang jelas, bawahawasanya kedua-dua malaikat tersebut akan menyoal si mati dengan menggunakan bahasa Arab. Allah S.W.T memberi keupayaan kepada si mati untuk menjawab dengan menggunakan bahasa tersebut. Ianya bukanlah sesuatu yang mustahil dan lemah bagi Allah S.W.T, yang mana apabila Allah S.W.T menyebut 'KUN FAYAKUN '(Jadi maka jadilah ia).
Bahasa Arab juga merupakan bahasa ahli syurga.
Pendapat yang lain pula (qaul dhoif) ada mengatakan bahasa yang digunakan di syurga adalah Bahasa Siryaniah seperti apa yang telah dikatakan oleh Al-Alamah Albaqiani.

Sumber :
Fatawa Muasarah Dr Wahbah Zuhaili

Monday, June 9, 2008

Soalan :Adakah benar bahawa takbur ke atas orang yang takbur itu merupakan satu sedekah?

Jawapan : Boleh bagi seseorang itu takbur ke atas seseorang yang takbur dengan menggunakan anggota zahir tanpa disertai dengan perasaan takbur kerana berkemungkinan dia lebih mulia daripada kita di sisi Allah s.w.t. Dengan kita menzahirrkan rasa takbur kepadanya, cara ini mungkin mampu mengubah sikapnya agar bersikap merendah diri. Sikap ini hanya boleh dilakukan untuk merawat penyakit takbur tersebut. Inilah yang dinamakan membantu sesama saudara yang bersikap takbur supaya dia sedar atas apa yang telah dilakukan.

Rasululullah S.A.W pernah bersabda : Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya itu seperti mengasihi dirinya sendiri



Rujukan : Fatwa Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz
http://www.alhabibomar.com/ask/article.php?id=000140

Sunday, June 8, 2008

Hukum membaca Al-Quran untuk simati

Permasalahan ini berlaku khilaf di kalangan para ulama' kepada dua pendapat seperti apa yang telah dinyatakan dalam kitab بشرى الكئيب بلقاء الحبيب .

Pendapat pertama : Masyhur di kalangan mazhab Maliki dan Syafi'e mengatakan bahawa pahalanya tidak sampai kepada simati.

Pendapat kedua : Pendapat mazhab Hanbali, Jumhur Salaf,mazhab yang empat, dan mutaakhirin dikalangan mazhab Maliki dan Syafie mengatakan bahawa pahala bacaan Al-Quran untuk simati adalah sampai.

Asson'ani mengenengahkan dalil yang digunakan oleh pendapat yang kedua bersumberkan nas-nas daripada Al-Quran, Sunnah, Ijma', dan Qawa'id Syara'.

Dalil-dalilnya adalah seperti berikut:
1) Al-Quran :
والذين جاءو من بعدهم يقولون ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان
Dan orang-orang Islam yang datang kemudian dariapada mereka(berdoa dengan) berkata:''Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.
Al-Hasyhr :10

Allah S.W.T menyebutkan bahawa orang yang terdahulu didoakan oleh orang yang beriman selepasnya. Maka ini menunjukkan bahawa istighfar dari orang yang hidup untuk simati adalah bermanfaat untuknya, begitu juga doa untuknya ketika melakukan solat jenazah.

2) Hadith :
Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam mendoakan simati ketika melakukan solat jenazah dengan sabdanya:
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
Dikuatkan lagi dengan hadith lain :
إذا مات ابن ادم انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
ٌرواه البخارى فى الأدب ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائى عن أبي هريرة
Apabila mati sesorang anak Adam maka terputuslah amalannya melinkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

3) Ijma' :
Mereka bersepakat mengatakan bahawa melangsaikan hutang untuk simati adalah harus, pahala puasa sunat dan sedekah juga sampai jika diniatkan untuk simati berdasarkan hadith bahawa pahala untuk simati sampai melalui beberapa jenis ibadat. Ianya terbahagi kepada 3 jenis :
1- Anggota badan = Pahala puasa.
2- Harta = Pahala sedekah.
3- Harta dan tubuh badan = Pahala haji.


Pendapat Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa bacaan Al-quran bermanfaat untuk simati sebagaimana manfaatnya pahala sedekah yang diniatkan untuk simati dan seumpamanya.

Imam Nawawi juga mengutarakan pendapat yang sama melalui kitab Majmuknya.

Secara ringkasnya, pendapat muktamad dari keempat- empat mazhab mengatakan bahawa pahala bacaan Al-Quran adalah sampai dan bermanfaat jika diniatkan untuk simati.

Rujukan :
# Kitab Fatawa Muasarah Dr Wahbah Zuhaili
# Terjemahan AL-Quran.

Saturday, June 7, 2008

Assalamualaikum w.b.t, selaut puji dan syukur atas nikmat iman dan Islam yang masih kekal ternobat di sanubari ini. Semoga ianya kekal sehinggalah bertemu dengan Illahi nanti. Selawat dan Salam atas junjungan utusan agung Baginda Muhammad S.A.W, keluarga, sahabat-sahabatnya, serta seluruh pejuang syariatnya hingga ke hari akhirat kelak.

Keheningan pagi ini, saya terpanggil untuk mencoret sesuatu sebagai satu tindakan pengaktifan semula setelah agak lama ruangan alam maya milik peribadi saya ini tidak terisi dengan sebarang entri yang baru. Bukannya apa, disebabkan kesibukan dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi zon peperiksaan, saya terpaksa menghentikan penulisan saya ini buat sementara waktu. Dikesempetan ini juga, saya ingin mengucapkan kepada semua teman-teman azhariyun semoga berjaya menempa kejayaan dalam peperiksaan demi agama Islam yang suci lagi murni.

Cuma sekadar peringatan buat saya dan sahabat-sahabat semua agar kita lihat kembali niat asal kita datang ke sini. Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggali dan mengutip jutaan permata ilmu yang terkambus di bumi kinanah ini untuk kita bawa ke tanah air kita nanti. Semoga usaha murni seperti ini mendapat pulangan yang bernilai di sisi Allah S.W.T. Ana teringat untuk membawakan sepotong ayat suci yang telah ditafsirkan oleh Dr Abdullah Syazili dalam pengajian tafsirnya . Allah S.W.T telah berfirman :


ان الذين يكتمون ما أنزلنا من البينت والهدى من بعد ما بيناه للناس في الكتاب أولئك يلعنهم الله ويلعنهم اللاعنون

ُErtinya : Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan daripada keterangan-keteragan dan petunjuk selepas apa yang kami terangkan mengenai kitab mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan orang yang dilaknat.

يكتمون ( menyembunyikan) asal perkataannya ialah كتم : Perkataan ini digunakan menunjukkan bahawa mereka telah mengetahui sesuatu perkara tetapi mereka menyembunyikan. Berbeza pula jika meggunakan perkatan yang menunjukkan bahawa mereka tidak mengetahuinya.

ما بيناه للناس ( apa yang kami terangkan) : Perkataan ini menunjukkan kehebatan dan keagungan Allah dalam mencipta bahasa. Menggunakan lafaz yang bermaksud (terangkan) menunjukkan bahawa apa yang disampaikan dalam Bahasa Arab adalah sebagai perantaraan semata-mata agar umat manusia boleh memahaminya. Jika Allah menggunakan kalamullah yang sebenar nescaya akal fikiran kita ttidak akan dapat membatasi untuk memahami apa yang disampaikan. Meskipun menggunakan Bahasa Arab, tetapi kita tetap dapat merasa kesenian dan keunikan uslub yang digunakan. Dari sudut balghahnya apatah lagi. Kalau nak tahu lebih lanjut kita perlulah belajar dari satu tahap ke satu tahap sehingga kalbu kita tersentuh ketika memahami dan menghayati ayat-ayat Allah.

Berbalik kepada ayat tadi, hal ini menunjukkan bahawa kita wajib untuk menjelaskan apa yang telah kita ketahui dan kita fahami mengenai kitab Allah dengan jelas dan tepat, bukannya menyembunyikannya hanya semata-mata kerana kepentingan diri. Berdasarkan kaedah Usul Feqh, setiap potongan ayat suci Al-quran yang disertai dengan laknat Allah S.W.T menunjukkan perkara itu wajib dilakukan. Laknat bermaksud
ابعاد من رحمة الله iaitu jauh dari rahmat Allah. Kecaman laknat daripada Allah S.W.T menunjukkan bahwa perkara ini amat dimurkai oleh Allah S.W.T jika dilakukan. Laknat daripada Allah akan menyebabkan kita akan jauh sekali daripada rahmatNya. Na'uzubillahiminzalik. Tiada apa yang lebih bernilai di dunia in melainkan rahmat daripadanya. Rahmat ini jugalah yang membezakan antara orang kafir dan orang Islam. Setakat ini sahaja saya rasa untuk kali ini. Semoga kita bersama dapat mengambil istifadah dan pengajaran. Tidak dapat untuk mengamalkan semua janganlah ditinggalkan semua. Sekian. Salam.


Rujukan :
*Pengajian Dr Abdullah Syazili
*Ahwal Syaksiah Tahun Dua Bab Li'an
*Usul Fiqh Tahun Dua Bab Amar