Tuesday, July 15, 2008

Ayuh...

Alhamdulillah, baru sahaja selesai program sukan anjuran Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta yang dikelolakan oleh Unit Kesenian dan Kebudayaan (UKKS)dengan jolokan nama programnya iaitu SMKT(Sukan Mahabbah Keluarga Tanta). Syabas dan tahniah saya ucapakan kepada saudara Hafiz dan ajk-ajk unitnya di atas kejayaan menyelia dan mengendali program tersebut dengan jayanya. Ulasan yang ingin saya tekankan adalah objektif ataupun hadaf program tersebut yang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjalin dan merapat ukhwah yang telah terbina selama ini dan ianya telahpun berhasil. Secara peribadi, saya dapat merasakan bahawa objektif yang diketengahkan oleh pihak persatuan benar-benar selari dan sejajar dengan apa yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri. Jika tidak, sudah tentu program-program seperti ini tidak akan menjadi pilihan pihak persatuan sebagai salah satu pendekatan dan pembawakan. Hal ini kerana sudah jelas dan makruf bahawa segala bentuk program dan pendedahan yang menjadi pendekatan persatuan-persatuan yang berada di bumi Mesir yang bernaung di bawah lembayung pentadbiran pusat iaitu PMRAM senantiasa mendasari Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun ada sesetengah pihak yang memperlekehkan usaha-usaha individu yang aktif berpersatuan dengan mengatakan bahawa tujuan sebenar kehadiran kita ke sini hanyalah satu iaitu untuk menuntut ilmu dan bukannya membuang masa dengan berpersatuan. Memang saya akui akan kebenarannya, akan tetapi kita perlu selami dan jiwai dahulu persatuan sebelum kita melontarkan apa jua persepsi dan bukannya terus mengecam. Kita perlu arif bahawa tujuan kita belajar adalah untuk mengamalkan dan menyebarkan segala apa yang telah kita pelajari. Konteks kita di Mesir, persatuanlah yang menjadi medan paling sesuai untuk kita mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Melalui persatuan kita dapat mengenali antara satu sama lain dan lebih mudah untuk menjalinkan kemesraan berbanding dengan terperuk di rumah sahaja. Contohnya, seperti yang saya katakan tadi iaitu program riadah. Saya sendiri gembira apabila melihat mereka yang komitmen dan hadir ke program ini. Lebih-lebih lagi mahasiswa lama yang sanggup turun padang dan mengambil bahagian, mereka juga cuba untuk mendekati mahasiswa-mahasiswa baru dan saya yakin bahawa mahasiswa-mahasiswa baru juga berlapang dada untuk mendekati mereka.

Selain itu, pihak persatuan juga mahu menjadikan setiap mahasiswa mampu dan berani untuk tampil apabila dipanggil untuk mengadakan ceramah, forum, motivasi dan sebagainya pada bila-bila masa. Semua ini merupakan kemahiran-kemahiran yang perlu dilatih dari semasa ke semasa agar hasilnya berkualiti. Ianya juga boleh diklasifikasikan sebagai lapangan ilmiah yang jelas memberikan input-input amat berguna kepada mahasiswa yang boleh dijadikan sebagai bahan untuk digunakan apabila pulang ke tanah air kelak.

Dari sudut program perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha, jelas mendidik setiap mahasiswa bagaimana cara untuk hidup bermasyarakat, tolong-menolong dan bantu-membantu agar majlis-majlis seperti ini berjalan lancar hingga ke penghujungnya. Suasana yang meriah scara tidak langsung dapat merapatkan lagi ukhwah dikalangan mahasiswa dan menggembirakan hati mereka yang tidak dapat pulang ke kampung untuk meraikan hari raya disamping keluarga yang tercinta. Berdasarkan pengalaman yang lepas, apa yang saya nampak jelas terlukis pada setiap raut wajah manis sahabat-sahabat lakaran senyuman yang menyenagkan hati. Diselangi dengan senda gurauan hilai tawa, hal ini lebih menggamitkan lagi suasana perayaan tersebut.

Apabila ada dikalangan mahasiswa yang menimpa musibah, seperti keluarga di tanah air ditimpa kemalangan, berlaku kes kematian, mahasiswa sakit dan perlu menjalani pembedahan. Persatuan akan berperanan untuk memberikan apa sahaja sumbangan yang boleh disalurkan kepada mereka. Keprihatinan pihak persatuan untuk menghulurkan bantuan terbukti apabila kita melihat bermacam-macam jenis tabung dan dana dilancarkan untuk kebajikan untuk usaha ini.

Berkaitan dengan thaqafah pula, pihak persatuan tidak mengabaikan thaqafah bahkan menjadikannya sebagai priority dari yang lainnya. Buktinya pelbagai program ilmiah dianjurkan dan sekurang-kurangnya dalam seminggu mesti ada sahaja program yang berkaitan dengan thaqafah. Antara sajian program thaqafah yang diadakan adalah seperti talaqi kitab, daurah, pembentangan kertas kerja dan sebagainya. Semua ini adalah usaha pihak persatuan untuk merealisasikan tema yang diwar-warkan oleh persatuan induk iaitu PMRAM iaitu ‘Julang Thaqafah Bakti Dicurah.’

Implikasi utama yang ingin dicapai oleh pihak persatuan sebenarnya adalah untuk menyatukan fikrah semua mahasiswa agar masing-masing mempunyai daya pemikiran, misi dan visi yang sama apabila pulang ke tanah air nanti. Usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memapankan lagi dari sudut persediaan menghadapi dan mengatasi apa jua onak dan duri dalam dunia dakwah yang akan dilalui apabila pulang ke tanah air. Jika masing-masing memainkan peranannya, maka usaha untuk mengadun dan mencorak masyarakat yang rabbani lebih mudah dan efektif.

Akhirnya, ayuhlah sahabat seperjuangan sekalian marilah kita bersatu,berganding bahu, melangkah setapak demi setapak ke arah yang sama agar kita dibariskan dalam satu barisan melalui persatuan untuk merealisasikan semua yang dikehendaki dan dituntut oleh Islam. Menjana satu fikrah merealisasi satu amal.Amin..Amin..Amin..