Sunday, August 30, 2009

Peristiwa Demi Peristiwa

Assalamualaikum w.b.t, apa khabar semua ? Kheir hendaknya. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk mengihrup udara Ramadhan sehingga hari ini. Semoga ungggun kesungguhan dalam menikmatinya semakin marak hari demi hari. Malam ini, sekadar ingin mencoretkan beberapa peristiwa yang membuatkan saya terfikir dan termenung sendirian. Saya seolah-olah tertampar apabila melihat peristiwa-peristiwa ini berlaku di hadapan mata saya. Tidak perlulah untuk ke mana-mana jabatan mahupun pusat-pusat yang berkaitan untuk bertanya tentang masalah sosial remaja masa kini sama ada dari sudut teori, realiti, satistik mahupun kebarangkalian untuk mengetahuinya. Cukup sekadar memerhati apa yang berlaku di sekeliling. Saya akan cuba nyatakan beberapa peristiwa yang perlu dipandang serius khususnya saya dan teman-teman sealiran dengan saya.

Peristiwa 1
Lokasi : Kedai buku agama
- Seorang pak cik berseluar pendek segan silu untuk bertanya kepada tuan kedai tersebut sama ada buku teks ada dijual ataupun tidak di situ.
- Seorang mak cik bertanya berkaitan buku 25 kisah Rasul ( buku yang telah dijual sejak saya di bangku sekolah lagi ). ''Betul ke buku ni yang anak saya nak, saya pun bukannya tahu kisah-kisah ni.'' Kata mak cik tersebut kepada pelanggan yang lain.
* Mungkin hanya sekadar tulisan saya tidak mampu menterjemahkan kepada kalian apa yang saya rasa dan fikir ketika itu.

Peristiwa 2
Lokasi : Mini market
-Usai solat terwaih, saya singgah di sebuah kedai mini X ( agak terkenal kedai tu ). Seorang pelanggan cina membeli arak ketika itu, kebetulan cashier yang bertugas pada waktu itu adalah seorang wanita melayu. Tanpa segan silu cashier tersebut memegang botol tersebut. Dahlah bertudung molek. Ya Allah, makin pedih rasanya di lubuk hati ini apabila melihatnya. Sempat bergurau lagi dengan saya seolah-olah tak buat salah. Mana pergi maruah agamanya. BULAN RAMADHAN pulak tu. Allah...

Peristiwa 3
Lokasi : Hadapan rumah
- Pada malam yang sama dengan peristiwa kedua berlaku, remaja melayu bergaduh sesama melayu dengan menggunakan pedang. Seorang lelaki menjadi mangsa, tangannya selamat ditetak pada malam itu. Mereka sempat berpecah. Waktu itu, orang awam ramai yang telah berkerumun di tempat kejadian. Tidak lama kemudian, pihak polis pun sampai dengan empat buah kereta. Nampaknya, mereka lewat bertindak. Orang awam yang menyaksikan kejadian semuanya membisu, sebab takut.

Peristiwa 4
Lokasi : Sekitar kawasan rumah di flat yang lain.
- Seorang lelaki terjun dari tingkat atas membunuh diri.
- Melayu bergaduh dengan India.

Banyak lagi hal-hal lain yang berlaku. Cukup setakat ini sebgai contoh. Persoalan yang ingin saya timbulkan. Adakah semua ini berlaku kerana ahli yang mempelajari dan mendalami ilmu agama tidak beraksi dengan sebaik-baiknya di lapangan masyarakat dalam menyampaikan agenda dakwah ?( termasuk saya ). Ya Allah ampunkan aku..Feel guilty..

Friday, August 28, 2009

Edisi Khas Ramdhan Siri 2

3) Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran. Seperti yang kita ketahui, Al-Quran menjadi rujukan asas bagi Umat Islam sejagat dalam apa jua hal. Isi kandungnya yang unik mempunyai perincian makna yang begitu hebat menjadikan ianya sebagai salah satu mukjizat agung kurniaan Allah S.W.T kepada Baginda S.A.W. Tidak hairanlah jika para para sasterawan mahupun cendekiawan tidak mampu menandingi kehebatan Al-Quran. Sama ada dari segi penggunaan gaya bahasa, intipati dan hikmah yang tersembunyi di setiap ayat-ayat Allah S.W.T.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkannya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dan yang batil.
( Al-Baqarah : 185 )

4 ) Bulan Ramadhan sebagai bulan keampunan. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W berpandukan hadith yang bermaksud :
Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.
( H.R Bukhari & Muslim )
Hadith di atas seolah-olah memberikan satu targhib ( dorongan ) daripada Rasulullah seupaya kita tidak melepaskan peluang Ramadhan untuk melaksanakannya dengan penuh iltizam dan bersungguh-sungguh.

5) Bulan Ramadhan sebagai bulan untuk menyemai ketaqwaan. Sifat taqwa adalah salah satu sifat yang menjadi idaman bagi setiap insan yang beriman kepada Allah S.W.T. Ketaqwaan yang tinggi mampu menjadi benteng kepada jiwa kita untuk sentiasa akur dan lebih intim dengan Allah S.W.T ketika melaksanakan syari'atnya. Sifat ini dapat membantu seseorang agar lebih takut kepada Allah S.W.T. Saya nasihatkan kepada diri saya dan teman-teman jangan lepaskan peluang ini.
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud :
Wahai orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa seperti insan-insan yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi insan yang bertakwa.
( Al-Baqarah : 183 )

Wednesday, August 26, 2009

Dzulhilmi & Dzul Qurratul Ain

Assalamualaikum...kef hal ?
Pada mulanya saya nak masukkan entri terbaru edisi khas Ramadhan yang telah saya taip dengan menggunakan microsoft word. Malangnya, tak boleh di'copypaste'kan. Jadinya sebagai bahan santai, saya masukkan gambar saya dan adik baru saya. Sebenarnya, umur dia dah setahun lebih. Tapi saya baru jumpa sekembalinya saya ke tanah air baru-baru ini utk bercuti. Apapun, saya tetap akan masukkan entri untuk edisi Ramadhan nanti sebagai satu tanda saya mengagungkan bulan Ramadhan disamping melakukan ibadah yang lainnya.Ramadhan Kareem. Kita masih di zon 'awwaluhu rahmah', jom kita kejar dan rebut tawaran itu. Kejar dan terus kejar.

Baru bangun tidur. Adik angkat kedua yang diambil oleh ummi saya. Kesian, ibunya dah balik ke Indonesia dan ayahnya tidak tahu ke mana......( Ingatlah, anak itu adalah amanah Allah. Kelak kita akan ditanya tentangnya )

Monday, August 24, 2009

Edisi Khas Ramadhan Siri 1

Assalamualaikum..Apa khabar semua? Iman anda ? Kheir hendaknya. Sudah lama rasanya tidak mengisi ruangan blog perkongsian saya ini.
Straight to the point,

Insya Allah, bersempena dengan bulan yang penuh keberkatan ini saya akan cuba sajikan kepada pembaca sekalian tulisan edisi khas bulan Ramadhan secara bersiri. Semoga ianya bermanfaat untuk saya dan kalian.
Puasa adalah satu amalan yang unik. Kelazatannya dapat dirasai bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Dalam usaha menjalani ibadah puasa juga mempunyai banyak perbezaan berbanding ibadat yang lain dari sudut kelebihannya.
Perkara ini diakui oleh para ulama'. Antara kelebihan yang telah dinyatakan oleh Dr. 'Aidh Abdullah al-Qarni adalah seperti berikut:

1 ) Di dalam puasa tidak menemukan unsur riya' dari sudut amalan. Ini jelas berdasar hadith Rasulullah S.A.W yang bererti, " Tidak ada riya' dalam menjalani ibadah puasa."Imam Qurtubi menjelaskan bahawa semua amalan dapat dimasuki riya' melainkan ibadat puasa. Ianya hanya dapat diketahui oleh Allah S.W.T sahaja. Sebab itulah Allah S.W.T menyandarkan amalan puasa itu kepada-Nya berdasarkan potongan hadith Qudsi yang bermaksud, "Melainkan puasa, ianya untukku."
Ibnu al-Jauzi menambah dengan mengatakan bahawa semua ibadat pasti terlihat apabila dilakukan. Ketahuilah bahawa terlalu sedikit amalan yang terselamat daripada penyakit riya' kecuali puasa.

2) Hanya Allah S.W.T yang menentukan kadar pahala puasa. Imam Qurthubi menjelaskan bahawa maksud kadar yang diketahui ialah setiap pahala digandakan menjadi sepuluh kali ganda hingga 700 kali ganda atau gandaan tertentu pada yang lainnya kecuali puasa, Allah memberikan pahala puasa tanpa ada penentuan kadarnya. Seperti yang kita rasai, puasa benar-benar menguji kesabaran kita dari aspek yang pelbagai. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah S.W.T yang ertinya, "Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang sabar itu adalah tidak terkira."

*Ps =
* Maaf kerana tidak dapat menaip dengan Bahasa Arab dan hanya memberikan pengertian dalam Bahasa Melayu sahaja kerana saya belum membeli arabic sticker untuk lap top saya ini. Lain masa Insya Allah ada arabnya.
* Untuk kelebihan seterusnya, saya akan masukkan pada siri lain. Al-maklumlah, online di tempat public. So, tak boleh duduk lama2. Lagipun dah nak masuk azan Zohor. Ummi saya dah mesej dah ni. Ok. Selamat menjalani ibadat puasa. Salam untuk semua.