Saturday, September 26, 2009

Kenyataan Rasmi YDP BKPJM

Kenyataan Rasmi YDP BKPJM Berkaitan Program ISMA-Mesir di Asrama Pelajar Johor Rabaah
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT yang sentiasa mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Kenyataan Rasmi ini dikeluarkan untuk memberikan penjelasan berkaitan program Sambutan Hari Raya yang dianjurkan oleh ISMA-MESIR yang berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Berhubung dengan perkara itu,program yang berlangsung di dewan bangunan Asrama Pelajar Johor Rabaah pada tarikh 5 Syawal 1430 H bersamaan 24 September 2009,dari jam 10.30 pagi hingga jam 3.30 petang itu adalah sebuah program yang TIDAK ada sebarang bentuk kerjasama daripada BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR. Ini adalah kerana Isma-Mesir tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan pihak BKPJM bagi menganjurkan program di Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Untuk makluman semua pihak khususnya kepada ahli BKPJM, sebarang program anjuran BKPJM akan dimaklumkan kepada ahli melalui saluran rasmi BJPJM iaitu lawan web rasmi BKPJM, iklan program, yahoo messenger BKPJM dan sistem pesanan ringkas (sms) dari Yang DiPertua BKPJM.

Dengan itu suka untuk kami mengingatkan kepada mana-mana pihak atau mana-mana persatuan agar tidak menggunakan nama BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR (BKPJM) untuk kepentingan masing-masing dan pihak kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya nama persatuan ini digunakan dengan tanpa keizinan daripada pihak pentadbiran BKPJM. Ini kerana BKPJM adalah sebuah persatuan rasmi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK) dan BKPJM juga merupakan satu-satunya persatuan rasmi yang menjaga kebajikan anak-anak Johor Di Mesir sejak dari tahun 1982 lagi.

Akhir kalam,di kesempatan ini juga kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua dan khusus kepada ahli BKPJM. Semoga dengan kehadiran Syawal pada kali ini dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta dapat memperkukuhkan ukhuwwah sesama kita.

Sekian,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kaherah,25 September 2009


Salam hormat dari saya ;

BASIR BIN MOHAMED
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 09/10

Minal A'idin Wal Fa'izin

Assalamualaikum..Apa khabar semua ? Kheir hendaknya. Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin kepada semua kenalan dan taulan yang sudi menjenguk laman ini. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun tidak beraya bersama, kali ini saya diberikan kesempatan dan peluang oleh-Nya untuk beraya bersama keluarga.
Namun, di celahan keriangan Aidil Fitri, hati ini tetap sayu dan pilu seperti tahun-tahun yang lalu kerana Ramadhan telahpun pergi. Belum tentu Ramadhan berikutnya saya masih diberi pinjaman nyawa oleh Tuhan yang Empunya. Perpisahan diri ini dari bulan yang penuh mencabar dan dugaan ini amat bermakna buat diri. Banyak yang perlu dikoreksi, dari sudut iman, spiritual, rohani dan jasmani terutamanya dalam menghayati tarbiah di bulan Ramadhan. Saya ada terbaca satu artikel yang cukup cantik tajuknya iaitu, Jadilah Hamba Allah & Jangan Jadi Hamba Ramadhan. Kesimpulannya, kita perlu melakukan kelangsungan daripada apa yang kita dapat pada bulan Ramadhan kepada bulan-bulan yan lainnya. Kita perlu yakin dan pasti bahawa selagi hayat dikandung badan selagi itulah Allah S.W.T memberi peluang kepada kita untuk memperbaiki prestasi diri. Kualiti iman dan taqwa. Allahummaj'alna Minal Muttaqin ( Status yang diimpikan oleh orang-orang yang beriman )..